
MUHAMMAD Shafee Abdullah (dua, kanan)
yang mewakili UMMB berbual dengan Raja Syahrir Abu Bakar (dua, kiri)
sambil diperhatikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan UMMB, Datuk Aziz
Ishak (kiri) dan N. Gobalakrishnan (kanan) di Mahkamah Tinggi Sivil
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 5 Mei - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),
N. Gobalakrishnan mendakwa, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang mengarahkan Naib Presiden parti itu, Tian Chua memalsukan gambar
yang menunjukkan seolah-olah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
duduk bersebelahan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Menurut Gobalakrishnan, gambar tersebut telah dipalsukan oleh Tian
Chua yang juga Ahli Parlimen Batu dan beliau berada bersama-samanya
ketika itu.
Bekas Ahli Parlimen Padang Serai itu mendakwa, gambar tersebut
dipalsukan supaya rakyat yakin yang Perdana Menteri mempunyai hubungan
dengan Altantuya bagi memburuk-burukkan nama beliau.
Dakwaan tersebut dibuat Gobalakrishnan ketika disoal dalam
pemeriksaan balas oleh peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah di
Mahkamah Tinggi di sini hari ini pada perbicaraan kes saman fitnah
peguam Manjeet Singh Dhillon terhadap beliau dan tiga yang lain.
Gobalakrishnan memberi keterangan sebagai saksi defendan pertama
dalam perbicaraan itu yang menamakan beliau; bekas wartawan Utusan
Malaysia, Raja Syahrir Abu Bakar; Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) dan TV3
sebagai defendan pertama hingga keempat.
Saman yang difailkan pada 26 September 2011 itu menyentuh kenyataan
Gobalakrishnan yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia dan TV3 yang
dikatakan mengkritik Manjeet.
Utusan Malaysia pada 17 Ogos 2011 menyiarkan artikel bertajuk Manjeet
selalu memburukkan kerajaan dengan memetik kritikan Gobalakrishnan
terhadap Manjeet manakala TV3 turut menyiarkan komen yang sama pada
malam 16 Ogos 2011.
Gobalakrishnan mendakwa, selain Tian Chua, penyiasat persendirian
(PI), mendiang P. Balasubramaniam, penceramah PKR termasuk beliau
sendiri telah mereka-reka dakwaan untuk mengaitkan Perdana Menteri
dengan Altantuya.
"Tian Chua berjaya mengeluarkan gambar Perdana Menteri dengan
Altantuya. Empat orang yang terlibat dalam episod Altantuya selain Tian
Chua adalah PI Balasubramaniam dan juga Manjeet dalam kalangan peguam.
Perancang utama ialah Anwar dan kami penceramah-penceramah memainkan
peranan untuk menyampaikan kepada rakyat dalam usaha memburuk-burukkan
imej kerajaan.
"Balasubramaniam diatur peranannya melalui afidavit, peguam pula
melalui keterangan dan semua itu dikawal oleh Anwar. Tampalan gambar
tersebut digunakan untuk menunjukkan hubungan Perdana Menteri dengan
Altantuya," ujar Gobalakrishnan yang memberikan keterangan di hadapan
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin.
Saksi itu mendakwa, beliau antara penceramah yang dibayar lumayan
untuk mendoktrinasi fikiran rakyat agar membenci kerajaan dan
intipati-intipati seperti ini akan menyebabkan lebih ramai rakyat
beralih kepada pembangkang.
Gobalakrishnan mendakwa, beliau tahu Manjeet terlibat dengan Balasubramaniam iaitu seorang yang diaturkan oleh Anwar.
Dalam satu soalan lain, ketika ditanya sama ada beliau mengetahui
apakah komen-komen yang dibuat oleh Manjeet mengenai Altantuya, saksi
itu menyatakan, beliau telah dimaklumkan sendiri oleh Anwar supaya tidak
mencampuri urusan tersebut kerana Manjeet akan menguruskan tentang
Balasubramaniam.
Muhammad Shafee seterusnya bertanya, bolehkah saksi itu menganalisis
siapakah `hired killer' (pembunuh upahan) yang dimaksudkan oleh Manjeet
dalam kes pembunuhan Altantuya.
Saksi itu menjelaskan, tiga perenggan kritikan beliau yang dipetik
dalam artikel bertajuk Manjeet selalu memburukkan kerajaan yang
disiarkan Utusan Malaysia dan TV3, baginya jelas menunjukkan Manjeet
menuding kepada Perdana Menteri adalah orang yang merancang pembunuhan
Altantuya.
Walhal ujar Gobalakrishnan yang pernah memegang jawatan Ketua Cabang
PKR Padang Serai, Perdana Menteri tidak tahu menahu dan tiada kena
mengena dengan kes itu.
Gobalakrishnan juga bersimpati kepada Perdana Menteri yang menjadi
mangsa tohmahan dalam isu Altantuya itu dan Perdana Menteri telah
bersumpah di dalam masjid bahawa beliau tidak terbabit sama sekali.
Ps : Memang sial.
No comments:
Post a Comment